PEMIMPIN KAPITALIS HIDUP MEWAH... RAKYAT MATI KELAPARAN...
Umat Islam kecewa dengan pemimpin-pemimpin Kapitalis di wilayah umat islam seluruh dunia sekarang dan menjadi tali barut Amerika. Pemimpin kapitalis ini yang tidak bertindak serius untuk membantu umat islam yang dilanda kemiskinan dan kelaparan. Mereka lebih sanggup mengumpulkan segala bentuk kekayaan untuk kepuasan diri dan kaum kerabat mereka berbanding menolong umat Islam yang kebuluran. Nyawa umat islam yang kebuluran tiada nilai langsung disisi pemimpin kapitalis ini.
Bandingkan ketika wujud Daulah Khilafah Islamiyyah. Pada tahun 18H yang dikenali sebagai Am al-Ramada, tiada hujan selama 9 bulan. Akibatnya Madinah dilanda kebuluran. Khalifah Umar al-Khattab menulis surat kepada semua Gabenor untuk segera mengirim makanan ke Madinah. Khalifah Umar Al-Khattab tidak meminta bantuan daripada Kerajaan Rom dan Farsi sebagaimana yang dilakukan oleh rejim yang memerintah umat Islam pada hari ini seperti pemimpin Pakistan, Indonesia, Sudan, Somalia dll yang meminta bantuan PBB dan Amerika.
Abu Ubaidah al-Jarrah, Gabenor Syria, mengirim 4,000 unta lengkap dengan tepung gandum dan Amru al-As, Gabenor Mesir, mengirim 20 kapal penuh dengan makanan. Khalifah Umar mengarahkan 2 bangunan besar didirikan untuk menyimpan makanan. Umar melantik Zaid bin Thabit untuk menyenaraikan semua orang yang memerlukan bantuan dan jumlah makanan yang mereka perlukan. Kupon yang memiliki cop mohor Umar diberikan kepada orang ramai. Mereka boleh menggunakan kupon itu untuk mendapatkan makanan secara tertib tidak seperti pemimpin sekular sekarang yang hanya membiarkan rakyat berebut untuk mendapat makanan dan akibatnya hanya mereka yang agresif dan kuat sahaja yang dapat makanan, manakala rakyat yang lemah ada yang mati dipijak oleh mereka yang kuat.
Khalifah Umar menyediakan pusat-pusat untuk memasak makanan siang dan malam. Umar sendiri duduk bersama rakyatnya untuk makan makanan itu. Setiap orang tahu bahawa Khalifah makan makanan yang sama seperti yang mereka makan. Tidak seperti pemimpin umat Islam hari ini yang makan makanan yang enak walau pun rakyat mereka hidup menderita. Pemimpin-pemimpin kapitalis hidup dalam keadaan mewah sedangkan rakyat hidup dalam keadaan kesusahan. Pada masa itu, 7,000 orang lelaki makan bersama Khalifah Umar dan makanan untuk 50,000 wanita dan kanak-kanak dihantar ke rumah mereka.
Disebabkan kebuluran, sesetengah jenis makanan tiada di pasaran seperti daging, mentega dan susu. Orang ramai terpaksa makan roti dengan mencicahnya dalam minyak. Umar bersumpah beliau tidak akan makan daging, mentega atau minum susu selagi ia tidak berada di pasaran dan rakyat dapat membelinya. Apabila makanan tersebut berada di pasaran, harganya terlalu mahal. Orang gaji Umar pergi ke pasar dan membelikan untuk Umar mentega dan susu dan membayar 40 dinar (suatu nilai yang amat tinggi!!). Pembantu tersebut datang kepada Umar dan memberitahunya “Allah swt telah menunaikan sumpahmu Wahai Amirul Mukminin dan memberi kamu anugerah yang banyak. Amirul Mukminin boleh makan mentega dan susu sekarang ini”. Umar mengatakan ia terlalu mahal untuk dibeli dan melihat bahawa ia berlebihan (Israf) untuk dirinya.
Umar mengatakan,"Bagaimana aku boleh menjadi prihatin terhadap rakyat jika aku tidak mengalami apa yang mereka alami? Bagaimana aku boleh merasai apa yang rakyat rasai jika aku sendiri tidak mengalami kelaparan dan kehausan yang mereka alami? Sebagai seorang pemimpin aku tidak akan berlaku adil terhadap rakyat aku jika aku tidak berada dalam kedudukan mereka."
Khalifah Umar benar-benar memahami tugasnya sebagai pemimpin. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Imam adalah perisai, dengan perisai itu Umat berperang dan melindungi dirinya.” [HR. Imam Muslim]
Tugas pemimpin adalah melindungi dan membantu rakyat, bukannya memboroikan perut sendiri dan perut kaum kerabat.
Sungguh hina dan celaka pemimpin kapitalis sekarang ini yang tidak menunaikan tanggungjawabnya. Mereka langsung tidak ada berkasih-kasihan sesama Muslim menolong rakyat sebagaimana Rasulullah bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai dan mengasihi di antara mereka adalah seperti satu tubuh, Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam.” [HR. Imam Bukhari]
SUNGGUH HINA PEMIMPIN KAPITALIS.. “SANG PEMIMPIN LENA KEKENYANGAN, RAKYAT HIDUP MENDERITA.”
No comments:
Post a Comment