my destiny

My photo
.>seterusnya akan tertegak kembali khilafah atas minhaj kenabian"

Friday, 16 October 2009





Nasionalisme & Patrotisme Penghancur Kesatuan Umat Islam




Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar jalur keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.

Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah.

Nabi dengan tegas lalu bersabda,

“Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.”

Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].

At-Thabrani dan al-Hakim melaporkan bahawa pada suatu hari beberapa orang sedang berbual tentang Salman al-Farisi dengan merendah-rendahkan bangsa Parsi berbanding bangsa Arab. Apabila mendengar hal ini, Rasulullah terus bersabda, “Salman adalah dari ahli al-bait (keluarga Rasulullah).” Kata-kata Nabi ini sebenarnya memutuskan segala bentuk ikatan berdasarkan keturunan atau bangsa.

Dikisahkan juga oleh Ibn Al-Mubarak di dalam dua kitabnya, Al-Birr dan As-Salah bahawa terjadi perselisihan antara Abu Zar dan Bilal, lalu Abu Dzar berkata kepada Bilal, “Engkau anak orang hitam.”“Engkau sudah melampau wahai Abu Dzar. Orang yang mempunyai ibu yang putih langsung tidak ada kelebihan di atas orang yang mempunyai ibu yang hitam.” Kata-kata Rasulullah ini memberi kesan yang mendalam ke atas Abu Dzar sehingga beliau meletakkan kepalanya ke tanah dan bersumpah tidak akan mengangkat kepalanya selagi Bilal tidak memijak kepalanya. Rasulullah amat marah mendengar kata-kata Abu Zar ini lalu bersabda,

Peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan kepada kita bahawa ikatan assabiyyah dan wathaniyyah langsung tidak ada tempat di dalam Islam. Kaum Muslimin diperintahkan agar bersatu atas dasar persamaan akidah dan tidak membezakan antara satu sama lain hanya disebabkan oleh perbezaan bangsa atau asal keturunan.
Rasulullah mengingatkan kita bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu, jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdi, Pakistan dan sebagainya adalah ummatan wahidah dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair.

Sesetengah orang mendakwa bahawa Rasulullah membenarkan assabiyyah berdasarkan peristiwa hijrah di saat Rasulullah bersabda tentang Mekah dengan air mata membasahi pipinya, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi.” Sebenarnya kata-kata Nabi ini langsung tidak ada kena-mengena dengan assabiyyah (nasionalisme) mahupun wathaniyyah (patriotisme). Kesalahfahaman ini timbul kerana hadis ini selalunya tidak dibaca atau dipetik secara sepenuhnya, yang berbunyi, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi kerana engkau adalah bumi yang paling Allah sayangi”.

Oleh itu, kecintaan Rasulullah kepada Mekah adalah kerana kedudukannya yang suci yang Allah berikan dan bukannya kerana Rasulullah dilahirkan di sana. Setiap Muslim justeru mesti cinta dan sayangkan Mekah kerana bumi ini adalah bumi yang paling Allah sayangi dan hal ini langsung tidak ada hubung-kaitnya dengan nasionalisme atau patriotisme!

Sesungguhnya keharaman assabiyyah dan wathaniyyah adalah jelas dan nyata, sebagaimana jelasnya malapetaka dan perpecahan yang dibawa keduanya.

Justeru, adalah menjadi kewajiban setiap Muslim untuk menghilangkan sifat dan sikap ini dari diri mereka, seterusnya bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah melenyapkan kekufuran ini di mana jua mereka temui.

Setiap Muslim juga wajib memuhasabah (bukannya bersekongkol dengan) pemimpin yang mengamalkan fahsya’ (kekejian) ini dan berusaha menyatukan kaum Muslimin di bawah bendera ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ tanpa mengenal batas sempadan, bangsa mahupun keturunan.

Dalam konteks ini, seluruh negeri kaum Muslimin sepatutnya bergabung membentuk satu negara dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunnah. Jika dulu Rom dan Parsi yang asalnya negara kufur, boleh tunduk dan bergabung di bawah satu Daulah, apatah lagi kini, Malaysia dan Indonesia yang sememangnya negara kaum Muslimin, tentunya lebih mudah untuk digabungkan, Insya Allah.

Apakah ertinya kemerdekaan ini?

Setelah 52 tahun merdeka dan memerintah sendiri dan mempunyai kuasa untuk menentukan nasib sendiri, anehnya Malaysia masih mematuhi syarat yang telah ditetapkan British lebih 52 tahun dahulu.

Apakah jika Malaysia melanggar syarat ini sekarang, maka Malaysia terpaksa diserahkan semula (atau otomatik jatuh) ke tangan British?

Atau apakah musuh Islam ini akan datang menyerang Malaysia sekali lagi jika syarat kemerdekaan tersebut dilanggar?

Atau apakah Malaysia sebenarnya ‘sengaja’ mengekalkan segala yang diwarisi dari penjajah ini kerana pemikiran para pemimpin yang ada sudah sebati dengan akidah sekular yang telah dibawa oleh penjajah?

Jadi, merdekakah umat ini sebenarnya, dengan hanya menyaksikan British keluar dari bumi Malaysia, walhal sistem dan undang-undang British masih bertapak kukuh?

Merdekakah umat ini apabila Perlembagaan yang digubal dan ditinggalkan oleh British masih menjadi undang-undang tertinggi negara yang lebih tinggi dari Al-Quran dan As-Sunnah?

Merdekakah umat ini apabila pemikiran mereka sebenarnya masih lagi terjajah?

Sungguh aneh apa yang dikatakan ‘kemerdekaan’ ini; kita mohon kemerdekaan dari John kerana benci dengan apa yang dia bawa, lalu John menganugerahkan kemerdekaan. Setelah merdeka, kita melantik Johan sebagai pemimpin, yang membawa idea sama sebagaimana John, lalu kita mengatakan kita telah merdeka!

Kemerdekaan Hakiki

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin bertanya, adakah kalian akan bergembira jika Kelantan terpisah dari Malaysia, lalu menyambut kemerdekaan? Adakah kalian akan bergembira jika Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia dan mereka menyatakan bahawa mereka telah merdeka, sebagaimana Singapura mencapai kemerdekaan dari Malaya dahulu? Adakah penduduk Johor dan penduduk Malaysia lainnya akan berpesta kegembiraan jika Johor berjaya keluar dari Malaysia dan merdeka? Apakah ini yang dikatakan kemerdekaan, dan apakah kita bergembira dengan kenyataan ini, kenyataan bahawa negeri-negeri umat Islam menjadi terpecah belah, semakin lemah dan kecil dan terpisah antara satu sama lain dan mewujudkan pemerintahan sendiri-sendiri?

Jika kalian gembira dengan sambutan kemerdekaan ini, kalian sebenarnya sedang berkongsi kegembiraan dengan kafir Barat, yang setiap tahun tersenyum menyaksikan sambutan kemerdekaan yang diadakan besar-besaran di negeri kaum Muslimin.

Golongan kuffar ketawa riang menyaksikan kejayaan mereka memecah-belahkan kaum Muslimin dengan negara-bangsa yang ‘merdeka’, yang dahulunya mereka berjaya pisahkan dari satu bumbung pemerintahan yakni Daulah Khilafah.

Kini, semuanya terpecah belah dan ‘merdeka’ dengan berjalan mengikut ketetapan penjajah. Wahai saudaraku, bukankah kita umat yang satu dan Rasulullah telah menyatukan kita dengan kalimah syahadah yang baginda bawa, tanpa memerhatikan lagi bangsa dan negara manakah kita berada. Begitulah juga dengan para Khalifah sesudah baginda dan para pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang menyatukan umat Islam dan memerdekakan mereka dari belenggu kekufuran. Kesemua mereka ini membawa kemerdekaan yang hakiki untuk umat Islam.

Mereka membebaskan manusia dari hidup di dalam kekufuran dan kezaliman menuju rahmat Allah, membebaskan manusia dari berada di bawah telunjuk dan naungan kufur kepada petunjuk dan cahaya Islam.

Firman Allah,

“Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan.” [TMQ al-Baqarah (2):256]

Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Jeneral Rustum (Parsi) secara bergantian pada hari yang berbeza pada Perang Qadisiyah, di mana Rustum bertanya,

“Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?”. Mereka menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan/memerdekakan siapa saja dari penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasanNya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam...” [Tarikh at-Thabari, II/401].

No comments: