my destiny

My photo
.>seterusnya akan tertegak kembali khilafah atas minhaj kenabian"

Friday, 9 October 2009

Politik Wajib di dalam Islam?



Politik yang dianjurkan Islam…

Wujud segolongan ulama Islam yang selalu berhujah bahawa agama Islam terpisah sama sekali dari politik. Islam adalah wahyu sedangkan politik adalah kejahatan, propaganda dan permainan manusia. Bagi mereka, mencampurkan Islam dengan politik merupakan perbuatan memburukkan kesucian agama Islam contohnya, kelakuan orang yang menggunakan dalil al-Quran untuk menjastifikasikan agenda politik mereka. Maka Islam dan politik seharusnya terpisah!

Kesan fakta ini turut mempengaruhi “mind setting” sebilangan masyarakat kampus yang “elergi” dengan suasana menjelangnya pilihanraya kampus yang penuh dengan pemainan politik. Perasaan ini diperkukuh dengan suasana politik tahah air yang dikatakan cukup sensitif. Perlu berhati-hati apabila berbicara tentang politik jika tidak mahu ditangkap pihak penguasa. Realiti ini menyebabkan penyelewengan kuasa politik dan pertelingkahan di antara parti politik dan gerakan mahasiswa adalah lumrah dalam berpolitik. Artikel ini hadir untuk menjawab pertanyaan adakah benar Islam terpisah dari politik? Dan, apakah perspektif politik yang sepatutnya difahami oleh kita semua?


Politik Sebahagian Daripada Islam

Politik di dalam bahasa arab dikenali dengan istilah siyasah. Oleh sebab itu, di dalam buku-buku para ulama salafus salih dikenal istilah siyasah syar’iyyah, misalnya dalam Al-Muhith, siyasah berakar kata sasa-yasusu. Kalimah Sasa addawaba yasusuha siyasatan bererti Qama alaiha wa radlaha wa adabbaha (mengaturnya, melatihnya, dan mendidiknya). Bila dikatakan sasa al-amra ertinya dabbarahu (mengatur sesuatu perkara).

Pada asalnya, makna siyasah (politik) digunakan dalam pengurusan dan latihan pengembalaan. Kemudian, kata tersebut digunakan dalam pengaturan urusan-urusan manusia. Pengurus urusan-urusan manusia tersebut dinamakan sebagai siyasiyun (ahli politik). Jadi, Ulul-amri (pemimpin) tugasnya adalah mengurus, mengatur, dan menjaga rakyatnya. Maka benarlah pujangga Arab yang bermaksud “mana mungkin keadaan rakyat akan baik apabila pemimpinnya rosak seperti anai-anai yang menghancurkan kayu”. Kesimpulannya, politik adalah riaayah (pemeliharaan), islah (perbaikan), taqwim (pelurusan), irsyad (pemberi arah petunjuk), dan ta`dib (pendidikan).

Pengertian yang lebih jelas lagi, telah dibuat oleh seorang ulama’ timur tengah, Syaikh Abdul Qadim Zallum di dalam Kitab-nya Al-afkaru Siyasi iaitu ”Siyasah bermaksud aktiviti mengatur urusan umat baik di dalam dan di luar negera berlandaskan batas-batas syarak”. Definisi inilah yang dipraktikkan oleh Rasullullah saw dan para sahabat yang sering digelar sebagai ahli politik oleh sarjana barat. Rasulullah saw. sendiri pernah menggunakan istilah politik (siyasah) seperti sabdanya;

“Adalah Bani Israil, mereka diurusi urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah yang mengurusi kalian” (HR. Bukhari dan Muslim).

Definisi ini semestinya jauh sekali dengan perspektif yang difahami oleh mahasiswa dan masyarakat kita diluar sana. Inilah pengertian politik Islam berdasarkan dalil yang terkuat. Aktiviti politik melibatkan pemerintah negara dan juga masyarakat. Negara adalah institusi penerapan secara praktikal dan masyarakat pula memuhasabah pemerintah dalam melakukan urusan rakyatnya. Sebagai mahasiswa di kampus, kita berpolitik untuk memuhasabah sesama sendiri dan menegur kesalahan pihak atasan universiti. Juga sebagai seorang muslim, kita perlu “terjun ke dalam aktiviti politik” iaitu memperhatikan keadaan kaum muslimin untuk memastikan kezaliman tidak berlaku dan melenyapkan kejahatan dari musuh-musuh kita, kafir laknatullah.

Oleh itu, kita tidak sepatutnya benci dan mengelakkan diri dari terlibat dengan politik. Malah, setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt. perlu berpolitik iaitu peka dengan isu yang berlaku di dalam dan di luar negara, membongkar keburukan, menuntut keadilan, menasihati pemimpin yang menderhakai rakyatnya, serta memeranginya kekufuran yang nyata (kufran bawaahan). Peranan ini adalah perintah dari Allah swt melalui kekasih-nya, Rasulullah saw seperti di dalam sebuah hadis yang bersifat mutawattir bi makna ini,

“Siapa saja yang bangun pagi dengan perhatiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namum tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka" (HR. Al Hakim).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw ditanya oleh sahabat tentang apakah jihad yang paling utama. Baginda menjawab :

“Kalimah yang haq disampaikan kepada penguasa yang keji” (HR. Ahmad).

Kefahaman politik yang beraqidahkan ideologi sekularisma yang berprinsip “matlamat menghalalkan cara” untuk meraih kuasa hendaklah dihapuskan sepenuhnya. Pemikiran berbahaya inilah yang selama ini menjahanamkan kesatuan mahasiswa dan masyarakat dengan konflik politik busuk, mencaci maki, jatuh-menjatuhkan dan sampai ke tahap kafir-mengkafir! Mahasiswa muslim yang ikhlas dalam memperjuangkan Islam jangan terperangkap dengan permainan yang disogok dan dicipta oleh musuh Islam untuk memesongkan tujuan sebenar kita.

Wahai sahabat-sahabat, siswa-siswi dan semua pembaca ukhwatul muslimin sekalian. Sedarlah sebagai seorang muslim, kita secara qathi’e (mutlak) harus melaksanakan Islam secara kaffah (sempurna) dan menyeluruh seperti yang diamalkan oleh umat Islam terdahulu iaitu jauh dari segala perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam baik taklifan berbentuk urusan individu (solat, puasa, zakat dsb.) mahupun melibatkan interaksi sesama manusia. Setiap muslim haram baginya melakukan pendustaan, kezaliman, khianat, tipu daya, dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh golongan sekular atas nama politik.

Hapuskanlah propaganda-propaganda yang digunakan untuk menutupi kesilapan kita dan perancangan jahat menjatuhkan pihak lawan. Kewajipan politik kita sekarang adalah memperbaiki kebengkokan yang ditempuh ahli-ahli politik yang masih belum sedar, gerakan-gerakan mahasiswa yang terleka, pihak autoriti dan penguasa agar semuanya dapat bersama-sama menyerukan kalimatul haq dan menghapuskan kezaliman agar sesuai dengan ajaran Islam.

Politiknya seorang muslim tidak boleh lari dengan usaha menerapkan dan menegakkan ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan. Jika kita mengelak, kitalah yang sebenarnya menjadikan Islam jauh dari aktiviti politik, iaitu: pertama, menyimpang dari perintah Allah swt. untuk mengurus dan memperhatikan urusan kaum muslimin. Kedua, membenarkan pengertian politik seperti yang digambarkan ideologi kapitalisma dan sosialisma padahal politik demikian adalah politik yang bertentangan dengan politik Islam. Ketiga, melarang sesuatu yang merupakan perintah Allah swt dan Rasul-Nya.

Islamlah satu-satunya sumber politik seorang Muslim seperti diteladankan oleh baginda Nabi Muhammad saw. Politik atas dasar ajaran Islam adalah mengimplementasikan seluruh hukum-hukum Islam dalam setiap aspek kehidupan. Dengan demikian politik bukanlah terpisah dari ajaran Islam.

Konflik yang tersimpul dengan 1001 jalinan ini perlu dileraikan. Kezaliman, penindasan dan pergaduhan sesama saudara seaqidah ini perlu dihentikan. Untuk itu, setiap individu perlu melakukan perubahan sikap dan cara berfikir. Pertama, menggunakan sudut pandang syariat pada setiap pemecahan permasalahan. Kedua, yang digali dari ajaran Islam dimunculkan dalam bentuk konsepsi strategik mahupun praktikal, bukan sekadar taklid buta atau aqal semata-mata. Ketiga, perilaku berdasarkan roh Islam iaitu terpancar sifat-sifat Islam padanya. Keempat, bertegas kepada kebenaran dan kemaslahatan seluruh masyarakat sesuai syariat Islam kerana rahmatan lil ‘alamin (rahmat sekalian alam) hanya tercapai dalam penerapannya. Hanya dengan ini, kita mampu merubah suasana politik kampus dan seterusnya mencorak pandangan politik baru di masyarakat luar.

Wallahu muwafiq ila aqwamit thariq..

No comments: